Adnan Ibrahim al-Binjai

Just another WordPress.com weblog

Kesan debat Anwar MP BN minta naikkan rebet

Oleh Adnan Ibrahim

BANYAK kajian yang dibuat berpendapat, perbahasan Ketua Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menurunkan harga minyak lebih menyakinkan daripada Menteri Penerangan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek yang mempertahankan dasar kerajaan menaikkan harga minyak.

Cadangan Anwar menurunkan harga minyak 50 sen seliter walaupun disifatkan Shabery bukan mengikut janji beliau sebelum pilihan raya umum 8 Mac lalu dimana ketika itu petrol berharga RM1.92 seliter, tetap diterima berdasarkan rakyat mempunyai dua pilihan iaitu satu pihak menaikan harga minyak dan satu lagi menawarkan turun harga minyak.

Selain itu, Anwar juga mampu menyakinkan rakyat bahawa harga penurunan itu dibuat berdasarkan langkah awal sekiranya beliau memerintah setelah mengambil kira kerosakkan ekonomi akibat BN menaikkan harga minyak begitu tinggi.

Malah bukan rakyat sahaja yang teruja dengan hujah Anwar bahkan Ahli Parlimen BN juga seolah mengakui kebenarannya apabila mereka pada keesokkan harinya mendesak kerajaan menaikkan jumlah rebet tunai yang dibayar kepada pemilik kenderaan persendirian.

Debat antara Anwar dan Shabery di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada malam Selasa lalu, manakala sidang Dewan Rakyat keesokkannya menyaksikan Ahli Parlimen BN yang mengambil bahagian perbahasan Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan 2008, meminta kerajaan meningkat jumlah rebet tersebut bagi meringankan beban rakyat akibat kenaikan harga minyak.

Perkara tersebut dibangkitkan oleh Ir. Hamim Samuri (BN-Ledang), Dato’ Baharum Mohamad (BN-Sekijang), Dato’ Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Dato’ Seri Dr. Jamaluddin Jarjis (BN-Rompin) dan Dato’ Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud).

Malah ada perbahasan yang beremorsi seperti Muhammad Aziz (BN-Sri Gading) sehingga menyukarkan Timbalan Speaker, Dato’ Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk menghentikan ucapan beliau.

Walaupun perbahasan Muhammad tidak meminta kenaikan rebet tetapi kesan kenaikan harga minyak dan barang menyukarkan kehidupan rakyat miskin. Bagi beliau kerajaan kena tegas memastikan peruntukan tersebut sampai kepada sasaran.

v Sementara Hamim yang menyentuh tentang rebet, menegaskan, peningkatan rebat tunai itu akan dapat membantu golongan berpendapatan rendah yang kebanyakannya menggunakan motosikal dan kereta Proton.

Bagi mengurangkan beban pemilik kenderaan ekoran kenaikan harga minyak, mulai 14 Jun lalu kerajaan telah membayar rebat RM625 kepada pemilik kenderaan di bawah 2,000cc manakala pemilik motosikal berkapasiti enjin sehingga 250cc pula menerima bayaran tunai sebanyak RM150.

Bayaran itu dibayar kepada pemilik kenderaan yang telah memperbaharui cukai jalan kenderaan masing-masing.

Menurut Hamim, polisi rebat tunai yang diperkenalkan oleh kerajaan amat baik tetapi jumlahnya tidak sesuai kerana penduduk berpendapatan rendah tidak mendapat bantuan sepenuhnya bagi menghadapi beban kenaikan harga petrol dan diesel.

“Seelok-eloknya rebat tunai bagi pemilik motosikal dinaikkan paling kurang RM1,000 kerana mereka merupakan golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Hamim percaya bantuan rebat tunai yang lebih tinggi kepada pemilik kenderaan terutama motosikal akan memberi insentif kepada mereka untuk memperbaharui cukai jalan yang selama ini tidak diendahkan.

Baharum pula ketika mencelah memberitahu, rebat tunai perlu ditingkatkan kepada pemilik motosikal kerana mereka adalah golongan berpendapatan rendah manakala pemilik kereta merupakan golongan berpendapatan lebih tinggi.

Bung Moktar pula ketika mencelah perbahasan Hamim mahukan kerajaan memasukkan pembayaran rebat tunai ke dalam Bajet 2009 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Ogos ini.

“Kerajaan ada kemampuan dan sebaik-baiknya masukkan perkara ini dalam Bajet 2009. Marilah kita realisasikan perkara ini dan marilah kita bantu rakyat berpendapatan rendah yang memang mengharapkan bantuan daripada kerajaan BN,” kata beliau.

Sementara itu, Abdul Rahman meminta subsidi pengangkutan awam turut diberi kepada pemilik kenderaan persendirian yang menggunakannya sebagai teksi sapu tidak berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Jelasnya, teksi sapu merupakan pengangkutan awam utama di Sabah dan Sarawak yang ketinggalan dari segi kemudahan pengangkutan awam.

“Saya harap pemandu teksi sapu ini diberi kelonggaran agar mereka dapat subsidi minyak bagi kepentingan penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Bagaimanapun, Jamaluddin ketika menyentuh isu yang sama meminta rebat tunai tidak diberikan kepada rakyat yang memiliki sehingga empat atau lima buah kenderaan.

Jelasnya, rakyat yang memiliki kenderaan yang banyak semestinya mempunyai pendapatan yang tinggi.

“Kalau mereka mempunyai empat kenderaan, dua daripadanya jenis BMW serta dua buah Proton, mereka ini dikira mempunyai pendapatan tinggi dan tidak sepatutnya menerima rebat walaupun untuk dua buah kereta Proton itu,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen, Tian Chua (PKR-Batu) ketika mengambil bahagian perbahasan yang sama, menyangkal hujah Shabery bahawa Iran dan Venezuela walaupun harga minyak rendah tetapi inflasi negara tersebut tetap tinggi.

“Kita kena ambil kira keadaan semasa di negara terbabit. Iran umpamanya mendapat tekanan embargo Amerika Syarikat mengenakan sekatan ekonomi ke atas negara tersebut,” ujarnya.

Halaman internet pro BN tidak banyak mengulas tentang debat tersebut berbanding sesawang pro pakatan rakyat dan bebas.

Posting halaman Puteri Umno hanya mengambil salinan daripada laporan Bernama manakala sesawang pemuda Umno pula bertajuk `Kantoi’ dengan karikatur berwajah Anwar.

Bagaimanapun dailognya: “Tak sangka temberang aku boleh pakai lagi. Janji manifesto pakatan rakyat BA** pun dah kantoi. Apa susahnya nak jual air liur basi� Kalau ada orang nak ‘free’ pun boleh!” mengundang pelbagai pertanyaan.

Ini kerana sesiapa yang mengikuti debat tersebut tahu siapa yang berbuih air liur berhujah? Apakah sindiran pemuda Umno itu bermaksud serampang dua mata? Sekiranya itulah yang dimaksudkan bermakna Shabery tidak lagi popular bagi pemuda Umno dan kedudukan beliau dalam Umno mungkin sudah ke penghujung.

Julai 23, 2008 Posted by | Uncategorized | Tinggalkan komen

PAS ditawar MB Selangor dan 4 Exco

Oleh Dr Mohamad Khir Toyo.

Saya tertarik dengan usaha-usaha mengadakan muzakarah UMNO-Pas kali ini.

Mungkin ini akan merealisasikan Impian saya ialah untuk melihat orang Melayu bersatu menjadkan kuasa Melayu itu kuasa yang dapat menentukan masa depan agama, bangsa dan negara.

Kita sedar 60% rakyat negara kita ialah orang Melayu dan bumiputera tetapi ia tidak memberi sebarang makna dalam negara demokrasi seperti negara kita kerana kita telah dipecahkan kepada tiga parti. Orang Melayu berada di dalam UMNO, Pas dan PKR.

Perpecahan Melayu ini bukan sahaja dari segi ideologi politik tetapi telah membarah dalam hati nurani kita. Kita lihat orang Melayu berpecah sehingga kita lupa bahawa dalam Islam kita bersaudara dan menjaga tali persaudaraan merupakan satu kewajipan dalam Islam. Semua ini berlaku kerana politik kebencian yang diamalkan oleh kita, politik fitnah yang amat memalukan pemimpin dan keluarganya. Politik dendam yang mengakari pemikiran kita.

Semua ini telah menyukarkan kita untuk kembali bersatu.

Walaupun begitu saya optimis kita masih ada ruang untuk bersatu walaupun akan mengambil masa yang panjang. Pertamanya kita perlu meleraikan orang Melayu daripada politik kebencian, fitnah dan dendam. Ia perlu bermula di kalangan generasi baru yang melihat majoriti Melayu akan hanya memberi makna jika kita bersatu untuk menentukan jatuh bangunnya agama, bangsa kita.

Saya gembira bila mendengar telah ada perbincangan di antara kepimpinan Melayu dalam UMNO dan Pas. Kegembiraan ini kerana inisiatif ini telah saya mulakan di Selangor sebaik sahaja berakhir Pilihan raya Umum ke 12 yang lalu.

Saya telah mencadangkan agar diadakan satu kerjasama antara Pas dan Barisan Nasional di Selangor.

Saya juga telah membawa pemimpin tertinggi Pas bermuzakarah dengan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Saya juga mencadangkan agar Pas diberi jawatan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar serta 4 EXCO. Malahan saya menolak sebarang jawatan bagi mengelakkan dianggap menguasai EXCO yang bakal dibentuk.

Saya lakukan ini kerana percaya bahawa gabungan Pas dan BN akan memastikan kepentingan agama Islam dan orang Melayu tidak akan diperkotak-katikkan. Bagi saya yang penting ialah kepentingan agama Islam dan orang melayu terjaga bukan siapa yang menjadi pemimpin utama.

Malangnya, pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pas, melalui Setiausaha Agungnya, Kamaruddin Jaafar, telah menggagalkan usaha tersebut. Saya yakin selagi Datuk Seri Anwar Ibrahim memainkan peranan penting dalam Pakatan rakyat, muzakarah tersebut tidak akan memberi sebarang kesan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim memang tidak mahu Melayu bersatu kerana itulah beliau tubuhkan Pakatan Rakyat yang berjuang atas prinsip kesamarataan, menyamakan taraf agama Islam dengan agama lain, menyamaratakan kedudukan orang Melayu dengan bangsa lain, walaupun memiliki status bumiputera. Sebab itulah Anwar dapat menarik sokongan yang besar daripada golongan ekstremis Cina melalui DAP dan ekstremis India melalui Hindraf.

Cadangan untuk mengadakan muzakarah mengenai agenda Islam dan orang Melayu nampak lebih baik sekarang. Saya percaya Pas sekarang sudah mulai sedar bahawa mereka kian tersisih dalam membicarakan isu Islam dan orang Melayu di negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat. Ini ditambah lagi dengan masalah peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang ini.

Saya tidak mengimpikan Pas dan UMNO bersatu dalam bentuk fizikal parti atau ideologi politik. Tapi saya mengimpikan kesatuan orang Melayu dalam erti mempertahankan kedudukan dan agenda Islam dan Melayu di negara ini.

Saya impikan biar parti mana pun yang menang pilihan raya, kedudukan agama Islam dan Orang Melayu kekal dan terus dipertahankan. Bukan seperti sekarang ini sudah terdapat “penggadaian” terhadap status quo Islam dan Melayu dalam usaha membeli pengaruh dan sokongan bukan Melayu.

Impian saya ialah suatu hari nanti kita semua dapat melihat YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Datin Seri Wan Azizah dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang duduk semeja.

Impian saya juga untuk melihat Melayu kembali menjadi tunjang politik negara yang akan menstabilkan politik tanah air, menjadi kenyataan. Saya berdoa semoga semuanya ini akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t.

Biduk berlalu, kiambang bertaut. Bagai aur dan tebing kita bersama. Yang ringan sama kita jinjing, yang berat sama dipikul, hati nyamuk sama dicecah, hati gajah sama dilapah.

Bangsa ini, bangsa berdaulat kembalikan kedaulatan tersebut.

Julai 23, 2008 Posted by | Uncategorized | | Tinggalkan komen

Dewan Rakyat tidak bela kepentingan rakyat

Oleh Adnan Ibrahim

TINDAKAN Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak dalam kamar usul tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, langsung tidak mengambil kira kepentingan rakyat yang perlu disegerakan.

Usul tersebut telah difailkan oleh Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan diserahkan kepada Pandikar di pejabat beliau, pada 10 Julai lalu.

Sebaliknya, Pandikar menolak usul tersebut dibawa ke dalam Dewan Rakyat, untuk dibentangkan Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pematang Pauh, semalam.

Sebagaimana biasa usul di bawah peraturan mesyuarat 18(1) dibaca kira-kira pukul 11.30 pagi iaitu selepas sesi soal jawab selama satu jam setengah. Sidang Parlimen bermula pukul 10 pagi.

Pandikar memberi alasan isu itu telah dibahaskan bulan lalu melalui perbahasan usul yang difailkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Shahril Abdul Samad pada 23 Jun lalu. Usul menteri itu umpama usul undi tidak percaya yang dibawa Wan Azizah.

Usul kenaikan harga petroleum dan harga barangan yang dibentangkan secara mengejut oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui Shahril itu apabila terdapat tekanan Ahli Parlimen Parti Maju Sabah (SAPP) daripada komponan Barisan Nasional (BN) akan membuat usul tidak percaya kepada Abdullah.

Stategik memintas Abdullah itu bukan sahaja mendapat sokongan 129 undi setuju dan 78 membantah setelah dibuat undi belah bahagian kepada usul terbabit bahkan dipergunakan sebagai hujah oleh Pandikar bagi mematahkan usul yang dibawa Wan Azizah tersebut.

Bagaimanapun sokongan usul tersebut bukan bermakna mewakili keseluruhan suara rakyat bagi kawasan parlimen masing-masing.

Ini kerana ada pendapat mengatakan ia tidak dibuat pungutan suara untuk memastikan wakil rakyat mewakili keputusan majoriti sama ada bersetuju atau tidak dengan kenaikan harga minyak.

Wakil rakyat berstatus BN hendaklah mengenepikan sentimen terhadap kepartian dan kepimpinan mereka kerana mereka perlu membawa suara dan keputusan rakyat ke Parlimen. Dengan cara ini, keputusan terhadap usul tersebut lebih adil kepada rakyat.

Pandikar berhujah berdasarkan kepada usul Shahril menolak usul Wan Azizah bermakna usul Wan Azizah juga memenuhi tiga syarat yang boleh dibahaskan dalam Dewan Rakyat iaitu perkara tertentu, kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

Usul tersebut sebenarnya amat ditunggu oleh rakyat yang mahu satu perubahan kepimpinan negara setelah Abdullah gagal dengan janji manifestonya dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, iaitu ‘Selamat, Aman dan Makmur’.

Rakyat merasa keadaan negara semakin tidak selamat dan aman terutama dalam soal politik apabila kes pembunuhan dan rasuah sering dikait pemimpin berkuasa.

Laporan polis bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail cukup membayangkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena kepada mereka yang berkuasa.

Rakyat merasa tidak aman apabila dua akuan sumpah yang mengaitkan pemimpin negara dibuat oleh Balasubramaniam tiba-tiba beliau berada di luar negara.

Keadaan tidak selamat ini menyebabkan rakyat juga mempunyai dua andaian terhadap Bala sama ada beliau diugut bunuh atau senang lenang di atas timbunan wang.

Kepimpinan negara juga dilihat asyik mempertahankan isu peribadi sehingga lupa dalam mengurus dan mentadbir negara untuk mengembalikan kepercayaan pelabur ke negara ini.

Kerajaan juga hilang tumpuan terhadap kepentingan negara apabila masa kepimpinan lebih banyak tertumpu kepada mengatur dan menyusun stategi bagi mengelak serangan politik dalam parti dan juga pembangkang.

Abdullah juga didakwa lebih mementingkan syarikat milik keluarga sehingga sanggup menaikkan harga minyak.

Seruan Abdullah mahu rakyat mengubah cara hidup sebenarnya mempunyai maksud terselindung supaya rakyat menggunakan pengangkutan awam bertujuan memulihkan aliran tunai sebuah syarikat pengangkutan awam di Kuala Lumpur untuk meneruskan pembelian bas baru yang masih tersadai.

Kepimpinan negara juga gagal mengatasi masalah kesukaran rakyat mendapatkan bekalan beras Super Tempatan 15 peratus (ST15) dan gandum harga kawalan kerajaan kerana ia berkait dengan keselamatan pemakanan negara.

Beras ST15 berharga RM1.70 sekilo hanya terdapat dalam bungkusan 10 kilogram dan di pasar raya tertentu. Ia tidak menepati sasaran kepada orang miskin yang hanya berbelanja di kedai runcit dengan kuantiti yang kecil.

Sebagaimana beras ST15 begitu juga gandum seling RM1.35 sekilo sukar didapati. Harga seling hanya sebagai hujah kerajaan mengatakan mereka mempertahankan hak rakyat miskin sebalik tidak mampu memastikan rakyat miskin mendapat kemudahan tersebut.

Akibat daripada tekanan tersebut, rakyat merasakan sudah tidak makmur lagi berada di bawah pemerintahan Abdullah.

Tekanan bermula dengan kenaikan harga minyak dan berterusan kepada barangan keperluan serta barang lain yang turut ikut naik menyebabkan rakyat mula bergantung harap kepada Pakatan Rakyat supaya membuat perubahan untuk meringankan bebanan rakyat.

Apa yang boleh dibuat oleh rakyat sedangkan pilihan raya umum sudah berlalu? Apakah rakyat perlu sabar menunggu lima tahun lagi untuk membuat perubahan hidup mereka?

Terdapat jalan tengah sebelum menunggu tempoh lima tahun iaitu sebagaimana yang dirancang Ketua Pembangkang membawa usul tidak percaya kepada Perdana Menteri ke Dewan Rakyat.

Sebaliknya ia ditolak oleh Pandikar bermakna ia menolak hasrat rakyat terutama golongan miskin yang mahu kepada perubahan dan kerajaan yang mampu membaiki taraf sosial ekonomi mereka.

Bagi rakyat, Pandikar tidak prihatin terhadap nasib mereka. Malah Pandikar tidak melayan permintaan Wan Azizah supaya mempertimbangkan semula keputusan menghalang usul tidak percaya daripada dibahaskan di Dewan rakyat.

Wan Azizah bangun sebelum Dewan Rakyat meneruskan perbahasan Penggal Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9), meminta Speaker menimbang semula keputusan tersebut.

Sebaliknya, Pandikar berkata usul yang difailkan di bawah Peraturan 18(1) itu menggesa kepada satu resolusi, namun begitu kuasa resolusi tidak terletak di bawah peraturan 18(1).

Bercakap kepada pemberita di luar Dewan Rakyat, Wan Azizah berkata objektif usul itu bukanlah resolusi undi tidak percaya, sebaliknya ia usaha Pakatan Rakyat membawa keluhan dan suara rakyat terhadap kerajaan ke pemerhatian Parlimen.

Usul yang difailkan di bawah Peraturan 18(1) itu berbunyi:

“Bahawa Dewan yang mulia ini mengambil ketetapan tidak percaya terhadap kepimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia dan jemaah menteri beliau dalam menjalankan urus tadbir negara disebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan”.

Julai 17, 2008 Posted by | Uncategorized | Tinggalkan komen

MP Umno Terengganu tidak bijak ambil kesempatan bela rakyat

Oleh Adnan Ibrahim

Dalam masa Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak sudah jauh ke depan dalam usaha memastikan negeri mereka terlepas daripada senarai antara negeri paling miskin sebaliknya Terengganu masih terkial-kial tidak tahu mengambil kesempatan politik semasa.

Kedua negeri tersebut dijanjikan royalti minyak sehingga 20 peratus oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim manakala Terengganu yang juga negeri pengeluar minyak masih dengan sikap selamat bersama Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Umno Terengganu tidak terlintas langsung untuk memikirkan kepentingan rakyat negeri tersebut yang disenaraikan negeri kedua miskin dalam negara, sedangkan mereka boleh berbuat demikian sebagaimana demand yang dilakukan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Enam orang Ahli Parlimen Umno Terengganu boleh bersatu dengan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak bagi menguatkan tekanan supaya apa yang dinikmati kedua negeri tersebut boleh dikecapi bersama sebagai negeri sama-sama miskin dan pengeluar minyak.   

Mereka tidak bertindak bijak menangani politik semasa bagi memberi tekanan kepada Perdana Menteri sebagaimana yang dilakukan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak.

Walaupun Perdana Menteri telah mengembalikan royalti kepada Terengganu tetapi ia tidaklah sehebat tawaran Anwar kepada kedua negeri itu.

Kecerdikan Ahli Parlimen Sabah mengambil kesempatan diatas kelemahan kedudukan politik Abdullah, telah ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Dato’ Ibrahim Ali, di sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Ibrahim mewakili Bebas menang atas tiket PAS dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu mungkin mempunyai pandangan yang agak serong kepada Ahli Parlimen kedua negeri itu, katanya kedudukan kerajaan BN sekarang bergantung kepada sokongan daripada Sabah dan Sarawak.

“Orang BN daripada Sabah, Sarawak pun satu hal juga. Saya tengok, sekejap-sekejap ugut kerajaan. Sekali Perdana Menteri melawat ke Sabah, RM1 bilion. Dua kali melawat RM2 bilion, pergi Sarawak RM1 bilion, takut mereka ini melompat.

Yang ini (dituju kepada pembangkang) pula ugut 24 jam… Saya hendak nasihatkan, kalau tak puas hati dengan BN, masuk pembangkang! Kalau duduk dalam kerajaan, duduk sungguh-sungguh, sokong sungguh-sungguh!

Kalau hendak jadi duduk di tengah-tengah, masuk bersama Bebas ini… Ini sekejap-sekejap, ugut, sekejap-sekejap ugut, pening rakyat! Saya hendak nasihat, kalau sokong, sokong kerajaanlah. Jangan dok main ugut-ugut, kalau tak hendak, masuk pembangkang.

Sekarang tidak… Saya tengok sekarang ini, cara kerajaan mengeluarkan wang, bila timbul tidak puas hati, bunyi hendak lompat, ha nah! RM1 bilion, ha nah! RM2 bilion. Ini dasar kewangan Negara…

Kena belanja dan hendak umum pun, kena ada peraturannya. Ini ada effects nya. Ikut suka hati sahaja. Saya nasihat ini secara ikhlas. Ini yang Sabah ini, kemudian hendak jimatkan lagi perbelanjaan kerajaan ini…,” ujar beliau membahas usul kenaikan harga minyak dan barang.

Persoalannya kenapa Ahli Parlimen negeri lain di Semenanjung tidak bertindak sebijak Ahli Parlimen kedua negeri itu bagi kepentingan rakyat dan negeri mereka.

Terengganu jangan menyesal jika mereka mereka masih ketinggalan dalam masa Sabah dan Sarawak membaiki ranking mereka daripada senarai termiskin.

Satu lagi keistimewaan yang diperolehi Sabah ialah apabila kerajaan pusat bersetuju melakukan operasi beras-besaran ke atas pendatang haram di negeri itu.

Menurut Kementerian Pertahanan adalah dianggarkan 300,000 akan dihantar pulang ke negeri mereka dalam operasi pertama itu.

Penghantaran pulang pendatang tanpa izin dijangka menyelesaikan 20 kes jenayah di negeri tersebut yang dikatakan melibatkan golongan itu. Menurut pihak keselamatan 20 peratus kes jenayah dilaporkan melibatkan pendatang haram di Sabah.

Kerajaan Terengganu juga pernah membangkitkan isu pendatang haram di negerinya sehingga menyekat peluang pekerjaan rakyat tempatan.

Semasa kempen pilihan raya umum 8 Mac lalu, isu pendatang tanpa izin dan pekerja asing menjadi persoalan besar yang dibangkitkan pembangkang.

Kerja am di tempat pembinaan dan projek lebuh raya pantai Timur banyak dikuasai pekerja asing menyebabkan penduduk tempatan terpaksa menganggur.

Malah di Kuala Berang, Hulu Terengganu, pendudukan tempatan terpaksa mencari bahan buangan di tempat pembuangan sampah untuk dijadikan sumber pendapatan.

Situasi itu dikatakan meningkat semenjak Umno menawan negeri itu daripada PAS dalam pilihan raya 2004.

Isu keselamatan penduduk tempatan melibatkan pendatang tanpa izin juga dibangkitkan rakyat Terengganu sebagaimana di Sabah. Semenjak ramai kemasukan pekerja asing banyak kejadian pembunuhan dan pergaduhan berlaku.

Rakyat telah menyuarakan perkara tersebut sebagaimana yang dinyatakan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said kepada kerajaan Pusat bagaimanapun kerana kepentingan golongan tertentu dalam projak maka kerajaan Pusat dikatakan mengambil sikap berdiam.

Selain itu tekanan Ahli Parlimen Umno Terengganu yang dikatakan tidak sehebat Sabah dan Sarawak maka tidak berlaku kesungguhan pihak kerajaan pusat bagi mengatasi isu besar yang menjadi kebimbangan rakyat Terengganu  dan perlu ditangani sebagaimana yang dilaksanakan di Sabah.

Julai 2, 2008 Posted by | Uncategorized | Tinggalkan komen

Orang bukan Islam makin berani hina Islam

Oleh Adnan Ibrahim
JOHOR BAHRU: Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria menyifatkan orang bukan Islam sekarang sudah berani menghina Islam akibat daripada pendekatan umat Islam sendiri yang secara terangan menghina Islam.Sehubungan itu, beliau mengingatkan pihak berwajib supaya mengambil berat perkara yang berkait dengan Islam agar ia tidak mudah dipermainkan dan dihina.“Kalau dahulu orang Islam hina Islam tetapi sekarang orang bukan Islam pun sudah berani hina Islam,” ujarnya ketika berceramah di Majlis Maulidurasul di Masjid al-Faizun, Taman Kempas di sini, Ahad lalu.Dalam majlis ceramah yang dihadiri lebih 1,000 orang itu, beliau banyak menceritakan perjuangan Nabi SAW disamping perjuangan sahabat sehingga umat dunia sekarang boleh mengecapi Islam sama ada daripada kesedaran atau keturunan.Bagaimanapun, kata beliau sejak akhir ini, umat Islam sendiri tidak berapa yakin dengan Islam dan mula ramai meninggalkannya kerana tidak ada kawalan undang-undang yang boleh menyekat orang Islam bertindak mudah keluar daripada Islam.Ceramah beliau mendapat sambutan ramai berikutan The Star sebelum ini menyiarkan kononnya Konvensyen Gerakan Wilayah Persekutuan telah meluluskan satu resolusi agar Mufti Perak dipecat kerana terlibat dengan kes penyebaran SMS yang menyatakan Datuk Azhar Mansor telah murtad.“Semasa negara kita dijajah Inggeris selama 400 tahun lebih tidak ramai yang murtad sebaliknya setelah kita memerintah 50 tahun, ramai orang Islam telah murtad,” katanya.Beliau juga turut kesal dengan program televisyen yang melalaikan dianjur dan disambut seolah-olah pada pemikiran orang Islam ia halal.“Daripada `Sure Heboh’ ditukar kepada `Jom Heboh’ tetapi pengisiannya tetap sama ia melalaikan orang Islam, tetap haram,” katanya.Sepatutnya kata beliau media elektronik lebih banyak menyiarkan program berbentuk kebaikan dan pendidikan jika sekiranya mahu melahirkan umat yang mulia serta bertamadun.

Jun 30, 2008 Posted by | Uncategorized | Tinggalkan komen

Hello world!

Welcome to WordPress.com. This is your first post. Edit or delete it and start blogging!

Jun 29, 2008 Posted by | Uncategorized | 1 Komen

Aktivis ANSWER seru dunia boikot Dunkin Donuts kerana anti Islam

AKTIVIS anti-perang dan anti-perkauman di Amerika Syarikat yang bergabung dalam organisasi ANSWER menyeru masyarakat dunia agar memboikot Dunkin Donuts, jaringan restoran antarabangsa yang khusus menjual pelbagai donat dan minuman kopi. ANSWER menilai Dunkin Donuts sudah bersikap anti-Arab dan anti-Islam.
ANSWER menilai Dunkin sudah bersikap anti-Arab dan anti-Islam kerana menuruti kemahuan golongan yang menuntut agar Dunkin menarik iklan onlinenya. Iklan tersebut dianggap menunjukkan sokongan terhadap teroris dan ekstrimis Muslim hanya kerana bintang iklannya Rachael Ray mengenakan kain khas penutup kepala yang biasa digunakan lelaki Arab berwarna hitam-putih.
Menurut laporan Associated Press, pihak Dunkin menerima banyak kenyataan mengutuk dari masyarakat atas iklan tersebut. Mereka menyatakan demikian menilai, kain khas Arab itu simbol jihad dan teroris Islam. Akhirnya pihak Dunkin memutuskan untuk tidak menayangkan lagi iklan itu dengan alasan iklan tersebut telah menimbulkan kesalahfahaman masyarakat.
Namun pihak ANSWER dalam kenyataannya menyesali tindakan Dunkin itu yang menarik iklannya. “Dunkin Donuts telah menyerah tanpa syarat dan menarik iklan produknya akibat tuduhan… bahwa bintang iklannya mengenakan kaffiyeh, kain tradisional yang sering dikenakan laki-laki Palestin,” demikian menurut ANSWER.
ANSWER menilai Dunkin telah melakukan tindakan rasisme anti-Arab dan anti-Muslim kerana didapati telah membenarkan tuduhan sekelompok masyarakat yang prajudis dengan iklan tersebut. Untuk itu ANSWER menyeru “boikot Dunkin Donuts di seluruh dunia” sekaligus sebagai ingatan kepada pengusaha yang bersikap perkauman terhadap bangsa Arab dan Muslim.
Para aktivis ANSWER juga mengajak para penyokongnya untuk mengirimkan surat online ke pihak Dunkin Donuts menyatakan protes atas keputusan pengusaha itu dan mendesak pihak Dunkin untuk menyampaikan permohonan maaf keraan sudah bersikap anti-Arab.
Juru cakap ANSWER, Ben Becker memberitahu, sejak ANSWER menyeru boikot itu, dalam jangka masa 24 jam sahaja sudah lebih dari 7,300 surat elektronik berisi protes yang dikirim ke pihak Dunkin Donuts. (al-arby)

Jun 2, 2008 Posted by | Uncategorized | Tinggalkan komen

Syukur

Syukur, Allahmdulillah setelah menyepi sekian lama untuk up date blog ini disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan terutama komputer usang yang mula membuat ragam.

Kali ini dengan pertolongan sahabat terutama Rosli, Abdullah serta motivasi membangkitkan semangat daripada sahabat rapat membuatkan keinginan menulis tetap tidak pudar.

Sebaliknya yang menyukarkan untuk terus mengorak langkah tersebut ialah bagaimana mahu memujuk hati supaya mula menulis kerana permulaan itulah yang amat sukar setelah sekian lama meninggalkan bidang ini.

Doakan permulaan ini adalah langkah untuk seterusnya berkarya. Semoga Allah merahmati dan meredhoi jalan kita seterusnya.

Mei 5, 2008 Posted by | Uncategorized | Tinggalkan komen

Asmaradana

Februari 28, 2008 Posted by | Uncategorized | Tinggalkan komen

Januari 19, 2008 Posted by | Uncategorized | Tinggalkan komen